8 Rahsia Sihat Sentiasa

8-rahsia-sihat-sentiasa

Zaman sekarang ini teknologi perubatan semakin maju. Ramai juga orang semakin sihat sekarang ini. Banyak penyakit-penyakit baru yang sebelum ini tak pernah kita dengar muncul. Tahap kesedaran orang ramai mengenai kesihatan pun semakin tinggi. Ramai yang sudah sedar betapa pentingnya mereka perlu jaga kesihatan.

Apa yang saya ingin kongsikan kepada anda kali ini adalah mengenai 8 perkara penting tentang kesihatan yang perlu anda tahu. Kenapa? Sebabnya kelapan-lapan perkara ini saling berkait rapat antara satu sama lain ataupun dalam bahasa saintifiknya dipanggil perkaitan secara holistik.

Walau bagaimanapun, saya bukanlah nak bincangkan kepada anda apa itu holistik. Tapi apa yang saya ingin bincangkan adalah perkaitan antara elemen-elemen tersebut antara satu sama lain dan kenapa anda perlu tahu kelapan-lapan perkara ini.

Baiklah, tanpa membuang masa lagi mari saya kongsikan kepada anda kelapan-lapan perkara tersebut.

1. Fizikal
Ini adalah elemen utama yang perlu anda jaga dan juga yang paling senang untuk dikesan kerana ianya mudah untuk dilihat dan dirasai. Biasanya kalau demam, kita akan rasa panas badan, jika selesema hidung rasa tidak selesa dan macam-macam lagi.

Untuk menjaga kesihatan fizikal, selalulah bersenam dan jagalah pemakanan. Jangan ayik makan makanan ringan sahaja, sebaliknya makanlah makanan yang benar-benar memberi khasiat yang terbaik untuk tubuh anda.

2. Intelek/Minda
Antara elemen terpenting yang anda perlu jaga selepas anda jaga fizikal anda. Kalau minda anda tidak sihat, anda akan dapati banyak aktiviti harian anda akan terganggu. Mungkin anda nampak perkara ini remeh sahaja, tapi anda pernah tak dengar tentang orang yang sakit mental? Di mana biasanya mereka ditempatkan? Fikir-fikirlah sendiri…Intelek juga memainkan peranan penting juga kerana ianya merupakan kayu ukuran kepada tahap pemikiran dan pengetahuan kita. Tambah lagi zaman sekarang ini, status seseorang itu salah satunya diukur melalui IQ (Intelligence Query) mereka. Jadi banyak-banyaklah berfikir dan tambah pengetahuan anda agar tahap kesihatan intelek anda sentiasa di tahap yang optimum.

3. Emosi
Emosi biasanya dikaitkan dengan perasaan. Jika emosi anda terganggu, ianya akan memberi kesan kepada perasaan anda. Ramai yang tidak sedar kaitan emosi dengan kesihatan. Maka ramai yang mengabaikan tahap kesihatan emosi mereka.

Sebagai contoh, mereka yang mempunyai tekanan emosi atau perasaan biasanya mudah untuk jatuh sakit. Ada kes yang lebih teruk boleh membawa maut. Jadi anda perlu jaga dan kawal emosi anda agar sentiasa stabil dan pada tahap yang optimum.

4. Rohani
Siapa kata kesihatan rohani tidak penting. Sebenarnya, kesihatan rohani juga penting kerana jika rohani anda baik, maka emosi anda akan stabil seterusnya minda anda akan sentiasa berada dalam keadaan tenang dan kesihatan fizikal anda juga akan baik.

Kesihatan rohani yang baik juga akan melahirkan jiwa yang tenang dan baik. Jadi janganlah anda abaikan kesihatan rohani anda. Sentiasalah menjaga hubungan kita dengan tuhan kerana hubungan spiritual yang bagus akan menjadikan rohani kita sihat.

5. Sosial
Manusia memang diciptakan memerlukan antara satu sama lain. Mana ada orang di dunia ini yang boleh hidup berseorangan. Walaupun anda orang yang paling kaya di dunia, anda masih lagi memerlukan orang lain untuk menyediakan keperluan hidup anda.

Sebagai contoh, anda perlukan nelayan untuk menangkap ikan supaya anda boleh beli ikan dengan duit anda tadi dan anda memerlukan tukang masak untuk memasak ikan tersebut. Nampak tak perkaitan ini.

Kesihatan sosial adalah satu aspek kesihatan yang perlu kita jaga kerana ia melibatkan hubungan antara masyarakat dan orang-orang di sekeliling anda. Ingatlah bahawa anda tak boleh buat semua benda di dunia ini. Anda perlukan orang lain untuk membantu anda untuk menjalani kehidupan anda di dunia.

6. Pekerjaan
Ramai yang terlepas pandang tentang elemen ini. Ramai yang menjadikan pekerjaan sebagai satu platform untuk mencari duit semata-mata. Jarang yang memandang pekerjaan adalah salah satu aspek kesihatan yang perlu dijaga.

Kenapa saya katakan pekerjaan adalah salah satu elemen kesihatan yang perlu anda jaga? Cuba lihat di negara seperti Jepun yang mempunyai kadar bunuh diri antara tertinggi di dunia. Kenapa? Mengikut kajian, kebanyakan mereka membunuh diri adalah disebabkan tekanan kerja.

Jadi nampak tak betapa seriusnya anda perlu ambil kira pekerjaan sebagai salah satu faktor penyumbang kesihatan. Sebaiknya cubalah buat atau cari pekerjaan yang membuatkan kita gembira.

7. Persekitaran
Persekitaran memang tidak dinafikan boleh menyebabkan keadaan kesihatan anda terganggu. Persekitaran yang bersih akan membuatkan tubuh anda berasa lebih sihat dan mengikut kajian, persekitaran yang bersih boleh mendamaikan jiwa.

Cuba anda bayangkan anda berada di suatu tempat yang bersih, pemandangan yang indah, udara yang nyaman dan menenteramkan jiwa. Apa yang anda rasa? Tepuk dada tanya selera.

8. Kewangan
Orang kata duit tak boleh beli kesihatan. Fakta ini betul dan juga tidak. Kenapa saya katakan begitu? Bila anda telah jatuh sakit, duit yang anda ada tidak boleh beli balik kesihatan anda yang telah hilang itu. Tetapi dengan duit anda boleh merawat dan mencegah penyakit yang anda sedang ataupun belum hadapi.

Sebagai contoh, jika anda ada duit, anda boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital ataupun klinik-klinik yang terbaik untuk memastikan tahap kesihatan anda sentiasa berada di tahap yang terbaik. Bagaimana pula jika anda tiada duit untuk melakukan kesemua itu.

Cuba fikirkan pada masa kecemasan pula. Apa yang akan terjadi jika anda tidak mempunyai duit yang cukup untuk melakukan rawatan yang anda perlukan. Bayangkan apa yang akan terjadi pada masa tersebut. Fikir-fikirkanlah...

Sampai di sini dahulu entri saya pada kali ini, semoga bertemu lagi pada entri lain yang akan datang. Terima kasih kerana sudi singgah disini~

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments