Menurunkan Berat Badan Dengan Berjalan Kaki

menurunkan-berat-badan-dengan-berjalan-kaki

Malas adalah tabiat normal untuk manusia. Kita tidak dapat mengelakkan diri daripada mempunyai sifat malas. Ini kerana tubuh badan kita mempunyai tahap ketahanan yang terhad, yang menyebabkan momentum kita akan turun ke paras yang paling rendah. Sebagai contoh, jika sebelum ini kita mampu joging selama 30 minit setiap hari, maka akan wujud satu tahap yang akan membuatkan kita rasa begitu malas untuk joging, meskipun 5 minit.

Dalam isu kesihatan, kita tidak boleh membiarkan momentum berada di tahap yang rendah untuk jangka masa yang lama. Apabila tahap momentum rendah, maka secara tidak langsung kita akan terpengaruh untuk kembali ke zon selesa. Zon selesa ini yang akan menyebabkan kita mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat, seperti pengambilan semula makanan yang berkolestrol tinggi, pengambilan gula yang melampau dan pelbagai lagi.

Cara mudah yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan momentum secara perlahan-lahan, adalah memilih aktiviti yang memerlukan kuasa yang mininum untuk dilakukan. Sebagai contoh, jika kita sebelum ini berjoging selama 30 minit, maka aktiviti yang paling minimum adalah berjalan secara perlahan-lahan.

Kenapa Kita Mesti Berjalan? 

“Walking is man’s best medicine.” – Hippocrates. Menurut Richard Weil, doktor kesihatan di Amerika Syarikat, beliau menyatakan senaman ringan seperti berjalan dapat membantu menurunkan berat badan sebanyak 7% setiap minggu, jika ia dilakukan secara konsisten.

Dalam kajian beliau juga, Richard Weil mendapati dengan meluangkan masa untuk berjalan dan mengeluarkan peluh daripada tubuh badan, kita akan dapat mengurangkan potensi untuk menghidap penyakit badan yang memudaratkan, seperti diabetes sebanyak 58%. Ini merupakan peratusan yang tinggi, jika dibandingkan dengan aktiviti yang mudah untuk dilakukan setiap hari.

Berjalan Dapat Menguatkan Jantung Kita

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Nurse’s Health Study, golongan wanita yang berjalan sekurang-kurangnya 3 jam atau lebih setiap minggu, dapat mengurangkan risiko untuk menghidap sakit jantung sebanyak 35%.

Oleh itu, golongan wanita tidak seharusnya mewujudkan sebarang alasan untuk tidak berjalan. Ambil masa yang terluang pada waktu petang (selepas solat Asar), untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah. Jika tidak boleh meluangkan masa sebanyak 3 jam, 30 minit juga sudah memadai.

Apa yang paling penting adalah peluh yang keluar daripada badan kita dan meregangkan keseluruhan otot dalam tubuh badan kita.

Bagi lelaki pula, satu kajian kes telah dilakukan dan mendapati individu yang berjalan lebih daripada 1 batu (1.60 kilometer) setiap hari, mempunyai peluang yang tinggi untuk hidup lebih lama dan mengelakkan diri daripada penyakit.

Di Malaysia, kita boleh mengamalkan kaedah berjalan ketika dalam perjalanan ke pejabat. Letakkan kenderaan kita yang mempunyai jarak sekurang-kurangnya 300 hingga 500 meter dari pejabat dan mula berjalan kaki untuk ke sana. Pada tahap permulaan, mentaliti dan fizikal kita tidak akan menerima dengan baik.

Namun jika ia dilakukan secara konsisten, tubuh badan kita akan selesa dengan aktiviti ini. Secara tidak langsung, kita sedang mengamalkan gaya hidup sihat.

Pelan Aktiviti Harian – Berkesan Untuk Semua Golongan

Bagi yang mempunyai kekangan masa untuk melakukan senaman berat, maka pelan aktiviti ini mampu membantu kita untuk bertindak sedikit demi sedikit. Tujuan pelan aktiviti harian ini adalah untuk mewujudkan konsistensi, pada aktiviti yang minimum. Ini dapat membantu tubuh badan kita untuk menerima isyarat bagi membentuk satu aktiviti baru, secara perlahan-lahan.

Hari Isnin hingga Jumaat
Selepas solat Subuh (6.15 pagi), siapkan sarapan untuk keluarga dalam masa 30 minit. Pada jam sekitar 6.45 pagi, siapkan diri kita untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah. Jika kita tinggal di rumah teres, berjalan di antara tiga hingga sepuluh deretan rumah secara berulang-ulang pun sudah memadai.

Bagi yang tinggal di apartmen atau kondominium, kita disarankan untuk berjalan-jalan di antara dua hingga tiga blog secara berulang kali.

Hari Sabtu dan Ahad
Kedua-dua hari ini merupakan hari cuti bagi majoriti penduduk Malaysia. Pada hari Sabtu dan Ahad, cari masa bersama keluarga untuk melakukan aktiviti di taman-taman atau pusat riadah yang berdekatan. Waktu yang sesuai untuk melakukan riadah adalah di antara waktu pagi (7 pagi hingga 10 pagi) dan juga petang (5 petang hingga 7 petang).

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca di seposen.info. Jumpa lagi di entri lain yang akan datang.

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments