Skuad Ragbi Negara Enggan Pandang Remeh Kepada Tuan Rumah


Bertubuh kecil tetapi semangat juang tinggi. Itu dipamerkan forward ragbi 7's negara, Mohamad Nasharuddin Ismail, ketika tewas 0-47 kepada Jepun dalam aksi kedua Kumpulan B Sukan Asia Jakarta-Palembang semalam menjelang pertemuan dengan pasukan tuan rumah, Indonesia, di Padang Ragbi Gelora Bung Karno, petang ini.

Saiz tubuh menjadi kelebihan Jepun menewaskan Malaysia.

Apa yang penting, semangat juang pemain negara yang tidak gentar menentang barisan pemain campuran tempatan dan naturalisasi Jepun yang turun selaku juara bertahan.

Semangat itu penting apabila Malaysia melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Indonesia dengan kemenangan akan mengesahkan tiket ke suku akhir.

"Walaupun kekurangan daripada segi fizikal tetapi kami cuba yang terbaik untuk bertahan biarpun Jepun memiliki saiz yang sangat besar.

"Tetapi, kami berjaya mengekang momentum mereka ke arah kami.


"Nak kata tidak mempunyai masalah (hadapi Indonesia), kami masih perlu bersiap sedia kerana akan menentang pasukan tuan rumah.

"Apa yang kami tahu, mana-mana pasukan tuan rumah pun akan menampilkan semangat yang luar biasa.

"Apapun, kami akan memberikan tentangan yang sengit untuk memastikan kami layak ke edisi yang seterusnya," katanya.

Malaysia memiliki rekod cemerlang berdepan Indonesia dengan pertemuan terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu menyaksikan skuad kendalian Saizul Hafifi Md Noor itu menang 75-0.

Kejayaan ke suku akhir juga bermakna Malaysia mengatasi pencapaian mengakhiri temasya di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu di tangga kesembilan.

Namun, misi lebih sukar ialah mengatasi pencapaian terbaik dalam sejarah, iaitu tangga kelima dalam temasya Guangzhou 2010.

Sumber : Stadiumastro

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments