AFC U-16: Malaysia Bedal Tajikistan


Malaysia menghantar amaran kepada pencabar lain selepas membuka kempen Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 menerusi kemenangan besar 6-2 ke atas Tajikistan pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin membuktikan betapa dia adalah bintang dalam pembikinan dan bakal menjadi tonggak untuk merealisasikan hasrat Malaysia ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2019 selepas meledak empat gol pada aksi terbabit.

Meskipun berdepan skuad ‘Singa Persia’ yang memiliki kelebihan fizikal, namun anak buah Lim Teong Kim itu membuktikan ia tidak menjadi masalah apabila berjaya menunjukkan penguasaan penuh untuk mendahului dengan tiga gol hanya pada babak pertama perlawanan.

Namun, Malaysia membayar harga yang mahal untuk kemenangan itu apabila penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dilayangkan kad merah sekali gus terpaksa diketepikan secara automatik untuk aksi bertemu Thailand selepas ini.

Pada aksi itu, rentak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan namun Malaysia terlebih dahulu mengejutkan Tajikistan menerusi tandukan Muhd Hariz Mansor seawal minit kelima namun dibatalkan memandangkan pemain itu sudah berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, Malaysia ‘menekan gear’ ketika perlawanan memasuki minit ke-29 yang menyaksikan hantaran Muhd Najmudin Akmal daripada sebelah kanan berjaya disudahkan Luqman dari dalam kotak penalti untuk gol pertama skuad negara.

Kelincahan Luqman terus mendatangkan masalah kepada Tajikistan dan tindakan penjaga gol lawan, Khasanov Mukhriddin yang menerkam ke arah Luqman mengundang padah apabila pengadil, Ahmad Yacoub Ibrahim menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Muhd Najmudin Akmal dua minit berselang.


Skuad kebangsaan terus garang apabila meledak gol ketiga menerusi gerakan hampir serupa dengan gol pertama menerusi hantaran Muhd Umar Hakeem Suhar yang ditampan Luqman ketika separuh masa pertama berbaki empat minit.

Tamat rehat, Luqman tidak perlu menunggu lama untuk melengkapkan hatrik apabila gerakan lincahnya berjaya memperdaya Mukhriddin sebelum menolak bola ke gawang kosong seminit selepas bersambung babak kedua.

Meskipun terpaksa beraksi dalam hujan pada separuh masa kedua, itu tidak mampu memadamkan semangat pemain negara untuk memburu gol dan Luqman terus menjadi ‘mimpi ngeri’ buat Tajikistan selepas meledak gol keempat peribadinya yang juga gol kelima negara pada minit ke-66.

Namun, Tajikistan menggagalkan hasrat Malaysia untuk menamatkan perlawanan tanpa dibolosi apabila mereka menerima sepakan penalti yang disempurnakan Rahmatov Sharifbek pada minit ke-72.

Jaringan terbabit nyata menyemarakkan lagi semangat Malaysia dan hasilnya, satu lagi sepakan penalti dihadiahkan Malaysia selepas Muhd Amirul Azzim Mohd Ruzki dijatuhkan dan Muhd Alif Mutalib yang diberikan tanggungjawab tidak mensia-siakan peluang untuk melebarkan jurang kepada 6-1 pada minit ke-76.

Namun, Malaysia berdepan tamparan apabila Sikh Izhan dilayangkan kad merah kerana mengasari Soirov Rustam pada minit ke-88 dan lebih buruk, Malaysia sudah menggunakan tiga pemain gantian sekali gus memaksa Hariz menjadi penjaga gol gantian.

Meskipun Hariz berjaya menepis tendangan penalti Zairov Islam namun percubaan susulannya berjaya menembusi gawang Malaysia untuk menjadikan kedudukan 6-2.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu jaguh Asia Tenggara, Thailand pada Ahad sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang juara dua kali, Jepun pada Rabu depan.

Sumber : Bharian

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments