Hilang Tumpuan Punca Kekalahan Skuad Hoki, Terlepas Tiket Ke Olimpik Tokyo 2020


Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, mengakui pasukannya hilang tumpuan selepas mendahului dua kali dalam final Sukan Asia Jakarta-Palembang sebelum tewas 1-3 kepada Jepun menerusi penentuan penalti di Pusat Hoki Gelora Bung Karno, malam tadi.

Lebih mengecewakan, Malaysia terlepas tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menggunakan peluang keemasan.

Anak buah Van Huizen mendahului 4-1 dan 5-2 pada suatu ketika. Malah, penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, meledak gol keenam untuk Malaysia mendahului 6-5, seminit sebelum perlawanan tamat.

Namun, Jepun menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 13 saat.

Perlawanan diheret ke penentuan penalti dan akhirnya Malaysia tewas.


"Mungkin kami hilang tumpuan pada penghujung permainan kerana teruja.

"Saya enggan menyalahkan para pemain kerana mereka telah pun memberikan aksi terbaik.

"Kami terpaksa menerima kekalahan ini memandangkan kami dua kali mendahului lawan 4-1 dan 5-2.

"Kami kehilangan Rujukan Video dan saya tidak faham mengapa Jepun mendapat pukulan sudut penalti manakala kami kehilangan seorang pemain.

"Kami tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana kami yang menguasai permainan, jadi ia salah kami sendiri.

"Saya bersama-sama dengan pemain atas usaha yang diberikan dalam temasya ini," kata Van Huizen.

Sementara itu, jurulatih Jepun, Siegfried Aikman dari Belanda, menyimpulkan: "Sukan hoki sedang membangun di Jepun. Kami memerlukan kejayaan seperti ini.

"Kami mahu beraksi dalam Sukan Olimpik bukan atas tiket tuan rumah semata-mata, kami mahu membuktikan bahawa kami sememangnya layak.

"Kejayaan ini teramat besar maknanya dalam perkembangan hoki Jepun."

Sumber : Bharian, Stadiumastro

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments