JDT Masih Bernafsu, Piala Malaysia Masih Idaman Kalbu


Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan mereka masih bernafsu untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang mereka menangi musim lalu melalui kemenangan penting 3-0 ke atas MISC-MIFA untuk mengetepikan suara-suara sinis yang melabel mereka sudah hilang taring.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa, menjadi individu yang paling tersenyum lega selepas nasib mereka pada suatu ketika seperti telur di hujung tanduk.

Malah, dia tidak menyangka bahawa juara bertahan itu mampu muncul juara Kumpulan C biarpun tewas tiga daripada enam perlawanan.

"Saya sudah beritahu apa jua boleh berlaku dalam bola sepak.

"Dua perlawanan lalu, JDT sebuah pasukan yang teruk tetapi kini mengakhiri saingan peringkat kumpulan di tempat teratas," katanya.

Penyerang Harimau Selatan, Safawi Rasid, yang menyumbang dua gol menganggap kemenangan itu hadir pada detik penting ketika mereka bakal berdepan seteru utama, Pahang, dalam suku akhir.


"Sebelum bertemu MIFA, kami kalah dua kali berturut-turut.

"Ini semangat yang baru untuk kami melangkah ke suku akhir dan kami mahu meneruskan rentak ini," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih MISC-MIFA, K. Devan, mengakui ketiadaan dua pemain import, Kpah Sherman dan Elizeu Areujo Melo, memberi kesan besar kepada prestasi pasukan.

Bahkan, dia cukup kecewa pasukannya tersingkir sebegini selepas mendahului kumpulan sejak perlawanan pertama.

"Saya akui rata-rata anak buah saya kurang berpengalaman.

"Kehadiran pemain import mengimbangi pasukan ini. Justeru, nampak jurang di antara kami dengan JDT," ujar beliau.

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments