'Kantung' Pasukan TCFC Makin Berisi


Dana juara Piala FAM musim ini, Terengganu City FC (TCFC) yang akan bersaing dalam Liga Perdana musim depan dijangka ‘kembung’ selepas beberapa syarikat sudi tampil menaja skuad itu.

Sebelum ini The Sharks yang dibimbing Mohd Noor Mohd Derus ceria selepas lapan syarikat berjanji menghulurkan tajaan bernilai lebih RM6 juta kepada pasukan itu.

Skuad yang berpangkalan di Terengganu itu memerlukan suntikan modal sebanyak RM8 juta musim depan berbanding RM4 juta musim ini dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) yang kian mencabar.

“Ini perkembangan positif buat pasukan TCFC. Insya-Allah selepas tajaan itu, ada tiga atau empat syarikat lagi sudi membantu kami dan perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kami harap pertemuan itu akan menghasilkan keputusan positif buat pasukan kerana kami sasarkan dana sekurang-kurangnya RM8 juta diperlukan pasukan dalam mengharungi saingan Liga M musim depan,” kata pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar.

Menurut M Rezal, pengurusan TCFC berbesar hati apabila lapan syarikat bersedia menghulurkan tajaan berbentuk wang tunai, penginapan, makan minum pasukan, pengangkutan dan kelengkapan jersi pemain serta pegawai kelab.

Beliau berkata, antara syarikat yang bersetuju menaja mereka musim depan adalah Tulangis Group (RM2 juta), Rimbaco Sdn Bhd (RM1 juta), Wira Syukur Sdn Bhd (RM1 juta), Takdir Idaman Sdn Bhd (RM1 juta), Teguh Harian Sdn Bhd (RM1 juta), Kaki Jersi (tajaan jersi), CKJ Engineering & Services (makanan) dan Derakventure Enterprise (penginapan).

Sumber : Bharian

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments