Malaysian Tigers Harus Segera Bangkit!


Kata-kata tidak mampu menggambarkan perasaan tidak percaya melihat peluang skuad hoki lelaki kebangsaan bergelar juara Asia terlepas dalam sekelip mata.

Kelebihan tiga gol dengan kedudukan 5-2 ketika perlawanan berbaki 10 minit lagi untuk tamat masih tidak membenarkan Malaysian Tigers mengukir sejarah baru memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 buat kali pertama sejak 1958.

Keadaan studio Astro Arena juga sepi menyaksikan Jepun melakukan kebangkitan luar biasa bangkit menyamakan kedudukan 6-6 dalam 10 saat terakhir perlawanan.

Sehingga ke saat ini, saya masih memikirkan bagaimana skuad negara boleh terlepas mengucup emas untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas ia muncul beberapa kali sepanjang aksi final tersebut.

Bagi sesetengah pemain, peluang ini cuma hadir sekali seumur hidup kerana mereka berpeluang memahat nama dalam sejarah hoki tanah air untuk menamatkan penantian ke Sukan Olimpik sejak kali terakhir pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Sebagai bekas kapten skuad kebangsaan yang sudah ke temasya berprestij Olimpik sebanyak tiga kali, sememangnya saya mengharapkan pasukan ini dapat melakukan perkara sama dengan beraksi di Tokyo, dua tahun lagi.


Inilah yang dikatakan rezeki tidak memihak walaupun ia sudah berada dalam cengkaman kita. So near, yet so far.

Pujian harus diberikan kepada Jepun kerana mereka kini bukan sahaja layak sebagai hos Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi dengan status sebagai juara benua Asia.

Kebangkitan luar biasa Jepun seharusnya dijadikan contoh kepada semua atlet negara supaya tidak berhenti meneruskan perjuangan selagi pertarungan belum tamat.

Ia dianggap salah satu kebangkitan terhebat dalam sejarah hoki dunia sejak India melakukannya sewaktu Trofi Juara-Juara 1985 di Perth, Australia.

India ketika itu ketinggalan 1-5 kepada Jerman tetapi wira mereka, Pargat Singh, berjaya meledak empat gol dalam tempoh enam minit terakhir untuk menyamakan kedudukan 5-5.

Bagi saya, keputusan ini akan menjadi penanda aras buat semua pasukan hoki dunia selepas ini dengan Jepun sudah memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak akan sekadar melengkapkan jadual dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.


Sebaliknya, skuad Samurai Biru itu telah membuktikan mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan-pasukan yang bertanding, bukan seperti yang terjadi kepada Brazil sewaktu menjadi hos Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Buat pemain-pemain negara, lupakan apa yang telah terjadi di bumi Jakarta dan jadikan ia sebagai satu pengajaran serta pengalaman bermakna dalam karier anda.

Berjanjilah agar episod ini tidak akan berulang seandainya mendapat semula peluang sebegini.

Wira-wira Malaysian Tigers harus segera bangkit dan memberikan fokus dalam persiapan menghadapi satu lagi kejohanan besar iaitu Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bermula hujung November ini.

Gagal di Jakarta tidak bermakna barisan pemain negara sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan Olimpik kerana peluang masih ada dengan Hoki Siri Dunia serta peringkat kelayakan akhir, tahun depan.

Tanamkan azam Olimpik Tokyo 2020 aku datang!

Sumber : BharianStadiumastro

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments