Malaysian Tigers Idam Emas Sukan Asia 2018


Penganjuran Sukan Asia edisi ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bakal menyaksikan pemenang pingat emas baharu hoki lelaki sama ada ia milik Malaysia atau Jepun.

Inilah masanya buat skuad hoki lelaki negara menempa sejarah baharu di pentas Sukan Asia dengan meraih pingat emas buat kali pertama sejak hoki mula dianjurkan di Tokyo, Jepun pada 1958.

Pingat emas ini juga akan melayakkan skuad negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai juara benua Asia dan menamatkan penantian 18 tahun sejak kali terakhir beraksi di pentas berpestij dunia itu di Sydney pada 2000.

Atas kertas, Jepun, No. 16 dunia, bukanlah lawan sukar buat skuad negara yang berada di kedudukan ke-12 dunia berdasarkan rekod pertemuan terdahulu kedua-dua pasukan.

Malaysian Tigers berjaya mencatatkan 14 kemenangan, empat seri dan cuma tewas tiga kali sepanjang 21 pertemuan dengan Jepun sejak kali pertama bertemu pada 1973.

Kali terakhir skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu tewas kepada Samurai Biru ialah 3-4 dalam siri persahabatan Test Match di Kakamigahara, Jepun pada Jun 2016.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pula menyaksikan Malaysian Tigers menang bergaya 3-1 sewaktu penentuan tempat lima dan enam Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu.


Bagaimanapun, ia tidak bermakna pemain boleh mengambil mudah cabaran Jepun kerana tuan rumah Sukan Olimpik 2020 itu berjaya mencipta kejutan ke final Sukan Asia.

Jepun melenyapkan ramalan awal untuk mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A dengan menewaskan satu lagi gergasi Asia, Korea Selatan 3-2.

Jepun sekali lagi mengejutkan ramai pihak apabila menumbangkan juara lapan kali, Pakistan 1-0 pada separuh akhir semalam.

Saya percaya Jepun mempunyai sesuatu yang mahu dibuktikan dan skuad negara perlu berada pada tahap terbaik kerana mereka cuma selangkah sahaja lagi untuk mencipta sejarah baharu.

Sebagai seorang pemain hoki, tiada sebab lebih baik untuk para pemain memberikan segala-segala yang mereka ada kerana inilah sebenarnya impian kita, impian Malaysia.

Satu lagi pesanan saya kepada para pemain agar tidak mengulangi kesilapan sewaktu final Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China yang menyaksikan skuad negara terlepas meraih pingat emas gara-gara tewas 0-2 kepada Pakistan pada final edisi tersebut.

Hanya Emas di Final nanti adalah hadiah paling bermakna daripada Hoki Malaysia kepada Negara yang menyambut Kemerdekaan yang ke 61 pada 31 Ogos.

Selamat Maju Jaya kepada pemain - pemain dan Selamat Menyambut Kemerdekaan kepada seluruh Rakyat Malaysia.

Sumber : Hmetro, Stadiumastro

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments