Melaka Berpesta Gol Membenam Felda United


Melaka United (MU) beraksi garang menutup tirai saingan Piala Malaysia selepas menewaskan FELDA United 6-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Bertekad menghadiahkan kemenangan kepada penyokong, pemain Hang Tuah beraksi penuh keyakinan dengan gerakan menarik selepas kehadiran semula ketua jurulatih E Elavarasan yang tidak bersama skuad itu dalam tiga aksi sebelum ini.

Gol pertama MU disempurnakan pemain import Nigeria Olusegun Ifedayo seawal minit ke-9 sekali gus menyuntik motivasi rakan sepasukan beraksi cemerlang.

Tersentak dengan jaringan terbabit The Fighters bingkas berusaha mencari jaringan penyamaan namun segala usaha mereka gagal membuahkan hasil.

Sebalilknya MU menambah jaringan kedua pada minit ke-24 menerusi Yahor Zubovich sekali lagi mengejutkan anak buah jurulatih B Sathianathan.

Apa pun peluang merapatkan jurang hadir pada minit ke-41 buat FELDA namun rembatan Iain Ramsay berjaya diselamatkan penjaga gol MU Khairul Fahmi Che Mat.


Walaupun MU sudah terkeluar dari saingan ke suku akhir namun barisan pemainnya tetap bertindak agresif untuk meraih kemenangan bagi mengubat luka selepas FELDA dan PKNS sudah lebih awal mengesahkan kemaraan dari Kumpulan B.

Gol ketiga MU dihasilkan menerusi Ifedayo selepas menerima hantaran S Chanturu untuk selesa ke bilik persalinan menerusi jaringan 3-0 yang jelas menekan pelawat yang memerlukan kemenangan untuk mengungguli carta kumpulan.

Babak kedua memperlihatkan FELDA berjaya memecah kebuntuan jaringan saguhati menerusi Zahril Azri Zabri pada minit ke-55 perlawanan.

Selepas itu MU terus berpesta jaringan menerusi S Chanturu yang menambah dua gol pada minit ke-72 dan 77 dan hatrik Ifedayo ( m-83) sekali gus mengesahkan skuad itu di tangga ketiga, FELDA naib juara dan PKNS juara kumpulan.

Sumber : Bharian

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments