PKNS Cemerlang Membelasah PDRM


PKNS FC muncul selaku juara Kumpulan B selepas cemerlang membelasah PDRM 5-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Mereka seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Melaka United yang menewaskan pencabar terdekat mereka, FELDA United 6-1 dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat sekali gus menutup peluang FELDA United bergelar juara kumpulan.

Keputusan terbabit membolehkan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu menghimpun 13 mata selepas enam perlawanan, berkelebihan tiga mata mengatasi FELDA United yang berpuas hati sekadar bergelar naib juara.

Pada aksi terbabit, penguasaan penuh berjaya ditunjukkan tuan rumah yang menyaksikan mereka mendahului seawal minit ketiga apabila kesilapan pertahanan PDRM menghantar bola ke belakang disambar Jafri Firdaus Chew yang mudah menewaskan penjaga gol lawan, Khairul Nidzam Mohd Nor untuk gol pertama PKNS FC.


PDRM sekali lagi dihukum apabila hantaran Romel Morales gagal disekat barisan pertahanan pelawat membolehkan Bruno Matos mudah melarikan bola ke dalam kotak penalti dan menewaskan Khairul Nidzam buat kali kedua pada minit ke-13.

Gandingan Morales dan Matos terus menunjukkan belang apabila hantaran Morales sekali lagi disambut Matos yang mengutip gol kedua peribadinya membolehkan PKNS FC selesa berkelebihan tiga gol hanya selepas 21 minit perlawanan berlangsung.

Bersambung babak kedua, kelebihan tiga gol nyata tidak menyekat nafsu PKNS FC untuk terus memburu gol dan hasilnya, Mohd Faizat Ghazali menghadiahkan gol keempat menerusi satu serangan balas pantas pada minit ke-52.

Matos yang memburu hatrik berjaya memenuhi hasratnya apabila meledak gol ketiga peribadinya untuk menjadikan kedudukan 5-0 ketika saingan berbaki 15 minit.

Sumber : Bharian

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments