TFC : Kalah Tapi Tak Tergugat


Terengganu FC (TFC) tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur dalam aksi terakhir Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Begitupun, skuad Penyu tetap dinobatkan muncul juara kumpulan selepas Perak yang berkongsi 10 mata dengan TFC juga tewas 1-2 kepada FELCRA FC dalam satu lagi perlawanan.

Seawal minit pertama, tuan rumah sudah melakukan percubaan ke arah pintu gawang pelawat menerusi Lee Andrew Tuck dari luar kotak penalti namun sedikit melepasi tiang sebelah kanan gol yang dikawal Mohd Sarbinee Allawee Ramli.

Tuan rumah yang merehatkan tonggak import pertahanan mereka, Igor Zonjic dilihat memudahkan kerja penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula membuka jaringan hasil hantaran lintang Ashti Chuchu pada minit ketiga.

Pada minit 26, TFC hampir menyamakan kedudukan apabila dihidangkan peluang terbaik, namun rembatan Donghyun Do singgah di palang gol tatkala Mohd Sarbinee sudah tertewas.

Begitupun, rembatan deras pemain import kelahiran Korea Selatan itu dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Mohd Sarbinee untuk mengikat kedudukan 1-1 minit 33.


Pada minit 35, TFC terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Muhammad Fazirhikwan Mat Rani dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman selepas menerima dua kuning.

Lantas, pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim membawa masuk Zonjic memperkuatkan benteng pertahanan dengan mengeluarkan Muhammad Radhi Mohd Yusof.

Kemasukan pertahanan tinggi lampai gagal menghalang skuad julukan The Hawks menambah gol kedua menerusi sepakan percuma yang disempurnakan dengan bijak, Paulo Josue minit 36.

Bersambung babak kedua, TFC yang beraksi tempang tanpa seorang pemain bekerja keras mencari gol penyamaan dan hasilnya berjaya disudahkan Mohd Shahrul Aizad Zulkufli yang menyambar bola sepakan percuma Tuck minit 64.

Kuala Lumpur yang sudah terkeluar dari saingan berjaya meledak gol kemenangan mereka menerusi De Paula minit ke-87 dan dua minit selepas itu pelawat juga bermain dengan 10 pemain selepas Mohamad Hisyamudin Mohamad Sha'ari dilayangkan kad merah.

Sumber : Bharian

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments