TFCII Bantutkan Hasrat Negeri Sembilan Untuk Ke Separuh Akhir


Hasrat Negeri Sembilan meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Cabaran tidak kesampaian selepas seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) II di Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Pasukan kendalian Mario Lemos itu terlebih dahulu menguji tuan rumah menerusi Flavio Beck Junior seawal minit kelapan yang ditangkap kemas Amierul Hakimi Awang.

TFC membalas serangan menyaksikan penjaga gol pelawat, Muhamad Ilham Amirullah, cemerlang menggagalkan rembatan kencang Muhammad Zuasyraf Zulkiefle pada minit ke-12 dan Shahrin Sapien (m-16).

Kedudukan berubah pada minit ke-31 apabila sepakan sudut Flavio Beck gagal dikeluarkan pertahanan TFC II dan bola singgah di kaki kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli, yang menolak masuk gol pembukaan Negeri Sembilan.

Sang Rusa kemudian hampir menggandakan jaringan pada minit ke-37 namun percubaan penyerang, Muhammad Fakrul Aiman Sidid, dari sebelah kanan ditepis Amierul Hakimi.


Dua minit selepas rehat, pintu gol Negeri Sembilan terselamat selepas tandukan Akanni Sunday Wasiu yang berpunca sepakan percuma Md Hassan Basri mengenai tiang gol.

Kemasukan Jean Andrew Baptiste mengubah nasib TFC II dengan tandukan pemain kebangsaan Haiti itu disambar Akanni Sunday untuk menjadikan kedudukan 1-1 pda minit ke-73.

Meskipun memiliki peluang, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat membolehkan TFC II menamatkan Kumpulan A dengan 12 mata.

Negeri Sembilan pula terpaksa akur di tangga ketiga walaupun berkongsi 10 mata dengan UKM FC yang berkelebihan jaringan selepas menewaskan Sarawak 2-0 di Kuching.

Sumber : Stadiumastro

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments