The Red Warriors Menang Tipis Di Kota Bharu


Hajat Kelantan mencari bekalan selesa tidak kesampaian apabila sekadar menang tipis 2-1 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

The Red Warriors (TRW) mengekalkan kesebelasan utama yang menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi akhir kumpulan C sambil membuat sedikit rombakan dengan menurunkan  Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni menggantikan Mohamad Haziq  Mohd Fuad yang digantung satu perlawanan akibat mengumpul tiga kad kuning.

Skuad Badak kendalian Jelius Ating pula turun ke Kota Bharu dengan moral yang hebat selepas mencipta kejutan menjuarai kumpulan D biarpun tewas 4-0 kepada Pahang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Likas.

Beraksi dalam keadaan hujan renyai-renyai, TRW garang melancarkan serangan untuk mencari gol pendahuluan. Peluang terbaik hadir pada minit kesembilan apabila rembatan kencang, Mohammad Danial Ashraf Abdullah berjaya ditangkap penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Pemain import kelahiran Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duyshobekov menceriakan hampir 14 ribu penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk hantaran Cassio De Jesus, hasil sepakan penjuru yang diambil Nik Akif Syahiran Nik Mat, menewaskan Rozaimie pada minit ke-30.

Empat minit berselang, penjaring terbanyak Kelantan, Shafiq Shaharudin hampir menambah jaringan tuan rumah namun tandukan kencangnya melalui sepakan percuma yang diambil Nik Akif Syahiran terus ditangkap Rozaimie.

Sabah dirundung malang apabila pemainnya, Randy Baruh diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin apabila menerima kad kuning kedua kerana mengasari pertahanan kiri Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin pada minit ke-39.


Beraksi 10 pemain, Sabah berjaya mendapatkan jaringan penyamaan melalui sepakan leret Hamran Peter hasil kekalutan di dalam petak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-43.

Sebelum tamat separuh masa pertama, pemain kebangsaan, Nik Akif Syahiran kembali meletakkan tuan rumah di depan melalui sepakan penalti menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie.

Bersambung babak kedua, TRW terus melancarkan serangan mencari bekalan selesa untuk di bawa ke Likas. Duyshobekov hampir menjaringkan gol ketiga melalui rembatan kencang di luar kawasan penalti namun ditepis keluar, Rozaimie pada minit ke-55.

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah membawa masuk penyerang import, Christiano Santos dan mengeluarkan Shafiq pada minit ke-60 untuk menambah kekuatan jentera serangan TRW.

Santos mendapat peluang keemasan di depan gawang lawan namun rembatannya berjaya dihalang pertahanan skuad Badak pada minit ke-65.

Sabah hampir mendapat gol penyamaan namun sepakan kencang penyerang import, Hector Ramos terkena tiang kiri Kelantan ketika penjaga gol, Mohd Faridzuean tertewas pada minit ke-74.

Kelantan terus menyerang mencari jaringan ketiga dalam lima minit terakhir permainan namun ketangkasan ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil jelas menghampakan segala asakan TRW.

Sumber : LLP, Stadiumastro

Suka artikel ini? →


Post a Comment

0 Comments